Pengalaman Terbang Dalam Pesawat Latihan Secara Percuma
Ini adalah pengalaman yang bukan semua orang pernah merasa, sehingga saya sendiri pun seakan-akan tidak percaya saya diberi peluang ini. Mungkin kita biasa dengar, terbang bersama pesawat ringan atau pesawat persendirian adalah hobi mahal bagi mereka yang berada. Ada di antara mereka yang terbang atas keperluan kerja dan ada juga yang terbang di kelab penerbangan sekadar hobi mengisi masa lapang.
Kenapa saya katakan ia adalah HOBI YANG MAHAL? Kerana untuk mengoperasikan satu penerbangan, anda perlu mengeluarkan duit untuk menampung kos bahan api, penyelenggaraan, tenaga kerja, juruterbang persendirian (jika anda bukan juruterbang) dan lain-lain.
Tergamam saya bila terima panggilan daripada pihak Malaysian Flying Academy. Pada Mac lepas, saya diberitahu yang saya telah terpilih sebagai pemenang pertandingan fotografi anjuran mereka. Sebagai ganjaran, saya diberi peluang untuk mencuba flight simulator dan terbang bersama salah satu pesawat latihan mereka. Pesawat tersebut asalnya digunakan untuk tujuan melatih pelajar di situ atau kita gelar bakal juruterbang.
Saya teruja melihat pelajar-pelajar di sana dengan uniform serba putih mereka, baik lelaki mahupun perempuan. Aktiviti pertama sebaik saja saya tiba adalah sesi flight simulator. Selama ini saya menganggap flight simulator nampak mudah seakan-akan video game. Bila dapat merasai sendiri, ia taklah semudah yang disangka. Segala kesan angin dan beban dapat dirasai bila mula terbang sambil memegang yoke (stereng). Saya ditemani dan dibimbing oleh salah seorang kapten tenaga pengajar di situ. Pemandangan lanskap Melaka dapat dilihat jelas walaupun ia sekadar simulasi. Sudah semestinya, bahagian yang paling mencabar adalah ketika mendarat. Namun, terasa kagum sedikit bila dapat mendaratkan kapal dengan selamat.
Hari diteruskan dengan sesi penerbangan sebenar. Sebelum terbang, saya diberi taklimat keselamatan dan prosedur kecemasan oleh kapten. Penerbangan yang saya naik ini dikendalikan oleh seorang pelajar dan dipantau oleh kapten di sebelahnya. Saya duduk di belakang mereka dan dapat melihat kokpit dengan jelas serta pemandangan di luar. Apa yang menariknya, pesawat jenis Piper Seminole 44 ini sebenarnya tiada penghawa dingin. Jadi, kita hanya bergantung kepada udara dari luar. Oleh sebab itu, pintu pesawat dibuka sementara kita taxi (bergerak ke landasan) sehingga bersedia untuk berlepas. Saya diberi sepasang headset untuk bercakap dan dalam masa yang sama dapat mendengar mereka berkomunikasi dengan kawalan trafik udara.
Kebetulan pula cuaca hari itu mendung dan baik. Kami dikelilingi ribuan kepulan awan sehingga membuatkan saya terpegun dan tak terkata.
Kalau nak dibandingkan dengan pesawat airlines yang biasa kita naik, pesawat ini lebih banyak gegaran dan saya dapat rasa sedikit lambungan semasa di udara. Tambahan lagi, ruang kaki yang agak terhad di tempat duduk penumpang. Walau bagaimanapun, ia adalah pengalaman "sekali seumur hidup" dan akan kekal dalam ingatan sampai bila-bila. Sempat saya rakamkan dalam bentuk vlog dan jika anda berminat untuk menonton, sudilah ke YouTube channel saya, Adam Mat Hasiri. Terima kasih juga atas layanan mesra dari pihak mereka sepanjang hari saya di situ.