TIPS PARENTING 6 : BAGAIMANA BERDOA MEMBINA GENERASI YANG TENANG & HEBAT

Doa itu otak ibadah, kemudi ibadah. Fungsi otak dan akal yang paling baik ialah ketika kita dalam keadaan tenang.

Kami perhatikan, ramai yang mampu untuk membaca doa makan sebelum makan. Tetapi ramai juga yang tidak sempat nak berdoa masuk ke tandas. Lagi-lagi kalau ada hajat tertangguh lama sampai dah melebihi “due time”. Masuk dengan kaki kiri dahulupun dah tak ingat apa, yang penting dapat masuk dan lepaskan hajat jangan sampai bertaburan.

Rasionalnya mudah. Apabila kita berdoa, kita akan berdoa dalam keadaan tenang dan cuba khusu’ (dinasihati fahamkan anak maksud doa itu sekali). Jika adapun 10 orang anak kita yang sedang kelaparan berpuasa seharian dan bila dengar azan sahaja terus nak cekur dan baham mana yang dapat. Tetapi dengan doa tadi, kegelojohan itu mampu dikurangkan dan dibendung.

Orang yang tenang adalah penghuni syurga (Nafsu Mutmainnah), terkawal tindak tanduknya, panjang akal dan tinggi ilmunya (Bastotan fil-ilmi Wal Jismi). Itulah cara pendidikan yang awal kepada anak-anak, khusus dalam soal ketenangan. Sehingga jika pada waktu makan, naik kenderaan, memulakan belajar dan apa saja yang didoakan itu mereka boleh tenang.

Semasa tempoh bertenang itu jugalah banyak strategi boleh diatur, betulkan niat dengan Basmallah, teliti jenis makanan dan asal usulnya, yang mana satu lebih bergizi, ada tidak kekotoran, lalat, lipas, rambut atau sebarang unsur haram yang tersirat seperti pengambilan hak orang lain atau dapatan dari hasil judi, curi, rasuah dan sebagainya.

Jika terkait dengan doa naik kenderaan, semasa tempoh bertenang juga mereka boleh teliti samada kenderaan selamat tayarnya, brakenya, bahan bakar cukup atau tidak, tali pinggang dah pakai atau belum, pintu dah tutup rapat ke belum dan lain-lain.

Selepas itu mereka akan melakukan apa saja dengan tenang. Apa-apa sahaja boleh menghasilkan kesan yang baik jika kita benar-benar mampu bertenang.

Hasil pemerhatian kami dari sampel komuniti anak-anak kami ini. Jika seorang anak yang kini berumur 15 tahun tetapi berperangai kalut dan banyak gagal dalam melakukan task yang susah adalah kerana mereka dari awalnya tidak biasa “ditenangkan” dengan doa.

Di sebalik itu pula, sebahagian anak-anak kami yang lain mampu menguruskan tekanan dengan baik dan melaksanakan tugasan dengan cemerlang kerana mereka dibiasakan dengan ritual doa itu dari kecil lagi. Tidaklah mereka tergopoh-gapah nak belajar kerana esok nak masuk peperiksaan. Sebaliknya, mereka tenang dan apabila mereka tenang, mereka mampu susun strategi yang bijak.

Silakan mencuba

Kudap-kudap sedap
WARGA PRIHATIN



Filter
TIPS PARENTING 6 : BAGAIMANA BERDOA MEMBINA GENERASI YANG TENANG & HEBAT - Saiful Nang Academy
TIPS PARENTING 6 : BAGAIMANA BERDOA MEMBINA GENERASI YANG TENANG & HEBAT - Saiful Nang Academy